What's next? - My next novel: Yuda di Padang Maya.
Jemari Seni Publishing mempersembahkan...
Buat pertama kalinya...
Sebuah thriller misteri...
Bayi itu diculik, hilang hapus dari kandungan ibunya. Dibawa ruhnya merentasi hijab dari alam manusia ke alam sana - alam jin.
Membesar si gadis di sebuah alam yang semakin dia dewasa semakin dia merasai ketidak serasian jiwanya dengan alam itu. Satu kesilapan yang dia tidak tahu apa. Bahkan sebenarnya lantaran jiwanya manusia, sedang jasadnya jin, bahkah seluruh keturunannya adalah keturunan jin.
"Mengapa ayahandaku, bondaku dan saudaraku tidak merasai kehadiran Tuhan sedangkan di dalam jiwaku hal itu amat mencengkam?"Bukan semata mainan jiwa di dalam dadanya, konflik ketuhanan itu sebenarnya sedang memuncakkan kuasa syaitan dalam melunaskan dendam semenjak azali. Syaitan hitam gila mahu meratah nyawa. Hajat cuma satu, Islam yang rebah! Melihat penganut agama wahyu melutut di depan kaki hitam syaitan adalah satu nikmat tak terbandingkan!
Lalu, si syaitan gila itu memulakan satu permainan halus...
Pemberontakan jiwa si gadis jin membawa dia ke dunia asalnya iaitu dunia manusia lalu jatuh cinta dia dengan seorang lelaki luarbiasa. Seorang lelaki naif yang mampu membaca suara dari alam ghaib! Suara yang bersarang di kepalanya yang dia tidak tahu untuk apa dan kenapa sehinggalah dia menemui sebuah cinta yang cukup mustahil.
Permainanan licik syaitan berjalan seperti dirancang. Bermakna, seseorang perlu melakukan sesuatu.
Demi mendepani tentera syaitan derhaka, Alexander Al-Mansuri menyertai permainan itu. Satu persatu strategi diatur. Meski kerja gila, kerajaan jin di Tranta terpaksa juga membenarkan tiga jejaka manusia merentasi alam ghaib agar kekuatan syaitan dapat dikalahkan.
"Hal ini hal yang gila, tapi apa pilihan yang kita ada? Keputusan bodoh lebih baik daripada tiada keputusan langsung, sedang musuh makin hampir." - Yusuf.Terkebil-kebil sahabat bertiga tidak percaya. Apakah ada alam sebegini? Mimpi? Mustahil ini mimpi! Dalam masih kebingungan, terhenyak di bahu mereka dua misi. Misi di Lembangan Maduria dan sebuah misi menyelamatkan dua nyawa!
Pengalaman mereka takkan pernah dialami orang biasa. Berjayakah mereka meleraikan tipu muslihat syaitan yang cukup licik?
"Weh, gila kau. Kau tulis tu. Kau betul-betul pergi ke dunia jin ke? Real sial." - Encik Trey.
Trust me, once you hold up this book.
You will never put it down. InsyaAllah. ~ Xarine.
Bab dekat-dekat last...
***
Beberapa kerat isi cerita Yuda:
“BATU.” Amsyar berkata sambil menguis-nguis batu-batuan kecil dengan kakinya yang menggerutu.
“Batu? So?” Zamsari yang duduk di sebelah Riduan meminta kepastian. Wajah Zamsari tenang dan bercahaya.
“Lihatlah. Batu, tanah, pokok, angin, langit, awan, air... semua sama dengan dunia kita. Apakah hijab kabir ini sebenarnya satu kawasan bumi yang tidak ditemui manusia?”
Zamsari mengjungkit kedua bahunya tanda tiada idea.
Riduan merenung Amsyar dalam-dalam kerana sahabat ‘satu spesis’ dengannya itu tiba-tiba telah membuatnya kembali berfikir. Angin segar yang melintas dibawah hidungnya turut mencadangkan bahawa Amsyar punyai satu cetusan hujah yang baik.
“Ada penjelasan lebih spesifik, prof?” Riduan menyoal. Suara tercekik itu dalam dan datar.
“Itu yang sedang aku pening.” Amsyar mengambil seketul batu dan melambung-lambung seperti bermain batu seremban. “Tengok… graviti. Sama.”
“Jadi?” Riduan bertanya.
“Where are we exactly?” Amsyar berkerut seribu. Wajah seekor sughoir serius berfikir. “Dunia ini dikatakan dunia bertentangan, tetapi kecuali jin, unsur-unsur alam ini kelihatan sama. Hmm... Don, kau ingat lagi tak kat mana kau simpan buku Mekanik Bendalir kelmarin?”
“Err… dalam beg galas aku lah nak bawak pergi kuliah besok. Kenapa?”
“Kan? Ingat kan? Think Don think. Kau dah jadi... err… makhluk… bu… buruk camni… kan? Kita dah kat dunia jin! Kau dah terpisah dari otak Riduan di bumi. Tapi macam mana memori kau tak terjejas langsung?”
“Non-locality?” Raut Riduan berkerut seribu cuba meneka point Amsyar.
“Hmm… one of the point.”
“Non apa?” Zamsari kepeningan.
“Non-locality. Teori relativity di antara dua ruang atau peristiwa yang jauh tetapi saling berkaitan. Mungkin dua dunia ini berbeza pada sifatnya tetapi saling berkaitan. Maka kita melihat keduanya seolah-olah serupa, tetapi sebenarnya berbeza dan perbezaan kedua-duanya saling seimbang-menyeimbangi.” Amsyar berhujah lebar.
Riduan mengangguk-angguk.
Zamsari memandang Amsyar yang kenit itu cuba membaca apa yang rakannya itu mahu sampaikan. Dia blur sebenarnya. Dia di bidang pendidikan, Amsyar dan Riduan pula di bidang Fizik. Jadi apa yang sedang berlaku ini bukan salahnya dan perkara ini dikira normallah, fikirnya.
“Mungkin…” Zamsari mahu tunjuk pandai juga, “mereka ini adalah makhluk terrestrial di planet lain yang menculik kita keluar dari bumi dengan space ship mereka. Oleh kerana kita di dalam bentuk ruh, maka kita boleh bergerak melebihi halaju cahaya. Bukan? Sistem suria matahari kita boleh lepasi selepas dua jam perjalanan pada dua kali halaju cahaya, kan, kan? Aku rasa kita di planet lain di sistem suria lain yang menyerupai bumi. Oh Tuhan, alien mereka ini semua alien. Hu huuu...”
Bullshit! Riduan merenung wajah alfus Zamsari yang tersengih kacak.
“Serius okey…” Amsyar menyambung. “Aku cuma hairan. Apsal tak jampi aje kan, pakai kemenyan, lada hitam tu semua untuk merawat Mastura dan Azmi. Kenapa kita perlu ke sini? Kenapa… Arissa beria-ia mahu kita ke sini? Di manakah pula kekuatan kita yang dikatakan hebat oleh Yusuf? Graviti yang sama. Batu yang sama kerasnya. Udara yang sama lembutnya. Memori yang sama. Bagaimana kekuatan kita boleh berbeza? Tengoklah… kita kononnya nak berdepan seekor Gorol, keris pun tak ada! Huff… ” Sekurang-kurangnya ada magic stick seperti Harry Potter. Kan?
“Belum… bermakna masih belum ada yang Yusuf terangkan, bukan?” Mustafa tiba-tiba muncul setelah tadi menghilang ke mana. Mengekorinya dengan tenang dan sopan adalah Aliana.
“Jadi, perancangannya bagaimana?” Amsyar kelihatan hilang sabar.
“Sekarang!”
“Sekarang apa tuan Mustafa?” Soal Zamsari pula.
Mustafa melihat kiri dan kanan sebelum mengeluarkan sebuah kitab besar seperti buku ensiklopedia setebal enam inci daripada kotak kayu yang berada di atas belakang seekor sughoir di sebelah mereka. Terdapat tulisan di buku itu yang tidak dapat dibaca oleh Amsyar, Riduan dan Zamri. Tulisan ala-ala cuneiform yang ditulis seperti seni khat itu tulisan di dalam bahasa jin pastinya. Rupa paras buku itu cukup memberikan mereka satu pengertian misteri. Seperti kitab tua itu mempunyai aura tersendiri.
“Buku ini…” Amsyar terkesima sehingga tergantung ayatnya tatkala melihat penampilan buku luarbiasa di tangan Mustafa itu. Riduan dan Zamsari turut merenung kitab lama itu tidak berkedip. Mustafa kelihatan seperti seorang budak kecil yang tidak patut bermain dengan buku sebesar dan semisteri itu.
Mustafa tersenyum kerana pertama kali melihat sughoir cerdik itu tidak tahu buku itu buku apa. “Sahabat-sahabatku, seperti Yusuf…, Percaya… Mustafa juga percaya akan keikhlasan hati kalian. Demi Allah, kalian bantulah kami dengan kekuatan yang dianugerahkan kepada kalian, bukan untuk merosakkan keturunan-keturunan kami. Sebentar lagi… kalian akan tahu sebentar lagi kekuasaan yang bagaimana Yusuf maksudkan. Bukan dengan memiliki pedang, keris atau lembing. Akan tetapi dengan kitab ini…”
***
HARI MULAI BERTUKAR dari malam kepada siang. Sinar jingga matahari di ufuk timur bagaimanapun tidak mampu menembusi ke dalam Gua Hitam. Tiada guna juga sebab ketiga-tiga manusia di dalam gua puaka itu tidak pernah menunaikan solat subuh apatah lagi dhuha. Manusia ke empat pula, yang merupakan seorang perempuan, koma dengan mata pejam rapat.
“Mak aku memang tak sayang kat aku. Tapi aku rasa, kalau tiga hari tiga malam aku tak balik, akan risau juga dia.” Seorang lelaki berpakaian hitam ala ninja di dalam gua hitam, mengeluh dalam gelap. Namanya Hasan.
“Cakap engkau, aku pun ada mak tau. Kau rasa boleh pakai ke bomoh ni?” Lelaki yang lebih muda berpakaian sama dengan Hasan mulai ragu-ragu akan kehebatan ketuanya. Nama pemuda ini pula ialah Manaf. Dua lelaki yang bernama baik-baik ini, akhlak mereka tidak pula baik. Mereka berdua dan ketua mereka, Pak Karmu, sudah masuk hari kedua berada di dalam Gua Hitam menjaga Mastura, wanita yang mereka culik tempoh hari. Penunggu gua pula menghilang tak muncul-muncul. Pak Karmu sedang nyenyak tidur. Manaf dan Hasan pula tak boleh tidur.
“Nyamuk kat sini macam keretapi. Boleh pula orang tua tu tidur.” Manaf berbisik. Ketawa perlahan-lahan.
“Ilmu kebal kot. Hah! Tahu pula kau bawa ubat nyamuk. Heh.”
“Aku selalu pergi memancing bawa ubat nyamuk ni. Datang sini pun terbawa sekali.”
Gua yang gelap, udara yang nipis dan statik, bau batu kapur yang ditelan bau kemenyan, serta suara ghaib yang lantang sudah cukup untuk meremangkan roma mereka. Tetapi kini perbualan mereka terhenti apabila mereka diganggu suara wanita menangis yang membuatkan remangan bulu roma mereka berada di puncak. Makin lama makin jelas kedengaran.
“Bunyi apa tu, San?” kata manaf. Pontianak?
“Bunyi... apa... kau tengok tu.” Hasan menunjukkan ke arah perbaringan Mastura tidak jauh dari mereka. Mereka berdua mendapati wanita koma itu kini bangkit dari perbaringan, duduk, dan menangis.
“Apa dah jadi?” kata Manaf. Dia ketakutan.
“Dia dah sedar kot.” Hasan selamba.
“Kena... kena rasuk dengan jem… jembalang gua ni aku rasa ni hisshhh…”
“Gila kau!”
“Habis tu? Kejut Pak Karmu?”
Hasan berpaling melihat Pak Karmu tidur mati. “Siasat dulu!”
Mereka berdua berjalan mengangkat tumit perlahan-lahan. Menuju ke arah perbaringan Mastura yang agak-agak lima meter di depan mereka. Mastura duduk membelakangi mereka berdua.
Sebagaimana mereka tidak tahu nama wanita yang baru sedar itu adalah Mastura bte Jamaludian, mereka juga tidak tahu sebenarnya wanita itu telah dileraikan sihir-sihir yang membelenggunya oleh Alexander Al-Mansuri apabila ‘penunggu gua’ yang bernama Halim leka melayan hikmat-hikmat ajaib Riduan dan Zamsari di dunia jin. Lalu mereka keliru mahu memutuskan samada wanita itu sudah sedar dari koma atau kerasukan jin? Nak menyiasat pula bagaimana? Hasan menggaru kepala.
Nak tak nak, mereka menghampiri Mastura. Dari belakang, mereka kini berganjak ke depan Mastura. Mastura kelihatan masih menangis.
“Kenapa kakak menangis?” Tanya Manaf, bendul.
Bodohlah kau ni Manaf. Dah tahu perempuan tu kena culik mestilah dia menangis, takkan ketawa pula. Hasan menggerutu dalam hati.
Dia tahu Manaf ini memang otaknya bendul sikit, bukan sikitlah, banyak juga. Wajahnya juga sangat kelakar untuk ditatap. Hidungnya besar, matanya berkelopak tebal dan jatuh. Jadi, matanya seperti orang bangun tidur saja, sepet. Kelopak jatuh itu tidak boleh dibuka luas. Tak tahu macam mana Manaf boleh melihat di dalam gua gelap ini. Kasihan betul Hasan melihat penampilan Manaf. Semalam ibu jari kaki Manaf berdarah. Tersepak tunggul katanya. Tak cukup oksigen dia menahan sakit. Kembang kempis hidungnya di sebalik kain ninja tutup muka itu. Hari ini setelah luka itu sembuh sedikit, Manaf buat lawak bodoh pula. Bertanyakan perempuan yang mereka culik dengan soalan, “Kenapa kakak menangis?”.
Pap! Hasan menampar belakang kepala Manaf, “bodoh punya soalan kau. Cepat pegang dia.”
“Kenapa nak pegang, dia tak mau lari pun. Kalau dia nak lari baru kita pegang.” Manaf cuba memandai.
“Bengap betul. Kalau dah lari, nak kena kejar pula. Penat. Peganglah terus.”
Mastura mengangkat muka memandang mereka berdua. Menelan air liur juga Hasan dan Manaf melihat wajah jelita Mastura. Sebentar tadi wajah itu kusam pucat, kini kulitnya mulai diwarnai kapilari-kapilari darah dan basah berpeluh. Dengan mata merah dan wajah sedih, di mata Manaf dan Hasan ketika itu, Mastura sangat jelita. Sudah menginjak akhir tiga puluhan, wajah wanita rebutan Halim dan Iskandar itu masih tidak dimamah usia. Koma yang panjang bagai menghentikan proses penuaannya.
“Cantik San. Alang-alang nak pegang ni haiii… tak tahan aku San.” Tangan Manaf menggeletar tatkala mata sepetnya melilau mencari bahagian badan Mastura untuk dipegang. Nafsu seksnya bergelojak.
Pap! Sekali lagi Hasan menempeleng belakang kepala Manaf. “Kau nak mampus dengan penunggu gua?”
Manaf mencemik muka ke arah Hasan.
“Adik… bantu kakak keluar daripada sini, ya?” Suara Mastura lemah. Sudah tujuh belas tahun dia tidak menggerakkan lidah dan bibirnya.
“Oh, tak boleh kak. Nanti penunggu gua marah. Pak Karmu marah.” Jawab Manaf.
“Hish. Aku rasa ada jin rasuk minah ni. Aku bagitahu Pak Karmu sekarang.” Kata Hasan.
“Adik, jangan. Pak Karmu mahu bunuh korang berdua, korang tidak tahu. Kaki kakak kebas, bantu kakak keluar ya?”
Pak Karmu mahu bunuh aku? Hasan dan Manaf terperanjat. Gila!
Manaf dan Hasan setelah itu serentak berpaling ke arah perbaringan Pak Karmu, memeriksa. Terperanjat mereka bukan kepalang apabila Pak Karmu tiada di situ. Bahkan sebenarnya bomoh tua itu sudah berdiri di sebelah mereka. Ah, bomoh sememangnya misteri.
“Ya, memang aku akan bunuh kamu berdua. Kerana itu permintaan penunggu gua kalau perempuan ini terlepas!” Pak Karmu bercekak pinggang. “Korang papahlah dia keluar kalau korang berdua mahu mampus. Dia takkan ke mana-mana, nahas kau orang kalau bantu dia keluar. Ambil tali, ikat dia.”
‘Ba... baik pak Karmu.” Kata Hasan ketakutan.
Belum sempat Manaf yang sudah kecut perut bergerak mahu mengambil ‘tali kambing’ yang dibawanya, suasana tiba-tiba diganggu bunyi bergema. Suara lelaki ketawa dan menangis silih berganti kedengaran di dalam gua menyebabkan ninja bertiga terdongak-dongak lagi. Apa yang sudah berlaku?
Mereka mendengar lagi suara lelaki itu merintih, merayu. Sayup-sayup dan bergema di dalam gua. “Ini cinta kami! Cinta kami tidak mengenal batasan. Kenapa kau nak pisahkan aku dengan bini aku? Kau sama jahanam macam mereka. Mereka dulu pandang aku penuh jijik, kau tahu. Jijik macam babi. Apa mereka ingat aku ini manusia tiada perasaan? Mereka ingat aku tak layak bercinta dengan Mastura? Isk isk isk...” suara itu menangis lagi teresak-esak.
Mastura tahu suara itu suara siapa. Ianya suara Halim. Hasan dan Manaf juga tahu suara itu suara siapa. Ianya suara penunggu gua. Suara kuasa gelap paling digeruni di alam hitam, alam perbomohan. Tetapi mengapa suara kuasa gelap paling digeruni itu merayu-rayu? Merintih? Menangis pula? Pelik! Maka mereka berempat tercengang-cengang membaca apa yang sedang berlaku. Sebutir-sebutir suara itu mereka teliti sehinggalah ia meraung dan ketawa macam orang gila dan kemudian suara itu kedengaran menggelegak sebelum lenyap.
Penunggu gua sudah mati?
“Tok… Tok… Apa yang sedang berlaku tok?” Soal Hasan kepada ketuanya, Pak Karmu.
“Entah, tok pun tak tau.” Pak Karmu sangsi untuk memutuskan suara itu adalah suara penunggu gua kerana penunggu gua tidak pernah meraung menangis gila semacam itu. “Lain macam saja. Nak kata pontianak , suaranya jantan. Takkan pontianak pondan kot. Hmm… penunggu gua pun tak datang-datang ni.”
“Tangkap mereka!” kedengaran suara lantang dari mulut gua tiba-tiba.
Apalagi, ninja bertiga terperanjat beruk. Sebentar tadi dikejutkan suara ghaib, kini dikejutkan suara manusia pula. Wajah selekeh dan ‘tak sedap dipandang mata’ milik mereka bertiga kini dipanah cahaya lampu-lampu suluh.
Beberapa orang lelaki berlampu suluh menerpa memegang Manaf, Hasan dan Pak Karmu. Diserang hendap oleh satu kumpulan lelaki yang ramai, ninja bertiga tidak mampu berbuat apa-apa. Apatah lagi mereka tiada pedang, pakaian saja macam ninja. Ninja paling tua, Pak Karmu, tidak sempat membakar kemenyan memanggil pembantunya dari kalangan jin. Lalu tertangkap dia tanpa sempat dia berkutik.
“Mastura… Alhamdulillah. Mas okey?”
“Mas okey pakcik Karim.”
Ustaz Bunyamin di sisi Karim tersenyum senang, lega. Alhamdulillah, satu masalah telah selesai.
0 komentar:
Posting Komentar